KESIMPULAN KESAN DARURAT
Darurat
tidak pernah menghalang cita-cita utama sebahagian besar rakyat yang mahukan
kemerdekaan. Peluang ke arah kemerdekaan terus terbuka cerah setelah kerajaan
menyedari dan mengambil pendekatan bahawa keganasan komunis tidak wajar diatasi
dengan kekerasan bersenjata semata-mata. Strategi yang melibatkan semua
organisasi dan jabatan kerajaan serta memenangi “hati dan pemikiran” rakyat
telah membuka peluang yang lebih cerah dan meluas kepada mereka untuk sama-sama
terlibat dalam membanteras komunis dan dalam masa yang sama memperjuangkan
cita-cita asal untuk mencapai kemerdekaan.
Pembanterasan
komunis mula menampakkan kejayaan setelah orang Melayu menyahut seruan pemimpin
dan kerajaan dengan melibatkan diri dalam pasukan keselamatan. Mereka turut
sama membuat pertahanan sendiri di kawasan petempatan masing-masing. Bagi orang
bukan Melayu pula (terutamanya orang Cina) telah menunjukkan sikap bekerjasama
dengan tidak membantah apabila dipindahkan. Maka perjuangan keganasan komunis
dapat direda dan dikurangkan. Sebagai tindak balas, PKM melancarkan beberapa
gerakan intensif yang semuanya berakhir dengan kegagalan. Ini semua kerana
sokongan awal yang mereka jangka dan harapkan tidak kecapaian. Akhirnya telah
memaksa pemimpin PKM meminta pemimpin parti politk utama negara pada masa itu
(Tunku) supaya mengadakan perundingan. Namun kerana sikap tidak menerima
kenyataan sebagai pihak yang mahu berunding dan sedang berada dalam keadaan
hampir kalah, perundingan berakhir tanpa penyelesaian dan gagal.
Apa
yang terserlah daripada kegagalan perundingan tersebut ialah arah tuju
perjuangan dan sikap mahu mengambil kesempatan dan sentiasa mahu memperkudakan
orang lain bagi kepentingan mereka (komunis). Digambarkan kemudiannya mereka
berunding lebih kepada mengajak Tunku bermuafakat bersama-sama menentang
penjajah mengikut cara mereka dengan membenarkan mereka turut sama terlibat
dalam politik. Setelah berjaya menghalau penjajah, mereka menyimpan hasrat awal
untuk menjatuhkan sekutu mereka pula yang dianggap lebih mudah dilakukan
berbanding dengan menghalau penjajah secara bersendirian. Taktik ini telah
diperlihat dari sejarah awal perjuangan mereka yang selalu menggunakan
pertubuhan buruh dan para pekerja. Apa yang berlaku sebenarnya, setelah wujud
krisis yang memanjang antara pekerja dan majikan, mereka mengaut keuntungan
dengan mendesak pemimpin dan pekerja melarikan diri untuk mengelak daripada
ditangkap. Akhirnya kesatuan sekerja ditekan dan majikan menjadi lumpuh,
sedangkan mereka telah mendapat pemimpin dan anggota yang akan berjuang
bersama. Jika berlaku keadaan huru hara, itulah yang menjadi harapan mereka
supaya mudah lagi proses mempengaruhi dengan meracuni pemikiran rakyat yang
lebih ramai.
Namun,
daripada apa yang diperlihatkan dalam tempoh darurat, PKM tersalah perhitungan.
Mungkin kerana terlalu kagum dengan kejayaan Komunis di Russia dan China,
mereka menyangka akan turut sama mencapai kejayaan di Tanah Melayu. Mereka
sebenarnya melakukan salah perhitungan dari segi masyarakat dan agama anutan
penduduk setempat. Meskipun pada awalnya, mereka mendapat sokongan daripada
kalangan masyarakat Cina, tetapi setelah dikenakan sekatan oleh kerajaan dan
dipaksa supaya menentang komunis, ramai yang melarikan diri balik ke negeri
China. Mereka tidak mahu terlibat kerana bertentangan dengan hasrat asal ke
Tanah Melayu untuk mencari kesenangan yang tidak tercapai di tanah air sendiri,
bukannya untuk menempah kesusahan yang sama atau lebih teruk lagi. Seperkara
lagi, orang Melayu yang beragama Islam tidak akan menerima sebarang bentuk
kekejaman dan kezaliman. Lebih-lebih lagi jika tidak percaya pula kepada Tuhan12.
Apa yang berlaku sebelum ini, orang Melayu mengambil tindakan kekerasan kerana
mempertahankan hak mereka atau hak Raja dan agama mereka. Sedangkan komunis pula
mengajak orang Melayu merampas hak mereka sendiri. Tambahan pula komunis yang
mengajak mereka berjuang itu adalah lebih buruk dan lebih teruk lagi daripada
penjajah yang sedia ada. Sekurang-kurangnya penjajah tidak melakukan kezaliman
secara terang-terang dan masih menghormati orang Melayu dan agama Islam. Oleh
itu, kegagalan mendapatkan sokongan orang Melayu bermakna separuh daripada
perjuangan telah gagal.
Seperkara
lagi daripada peristiwa darurat ini telah menjadikan orang Melayu terus bersatu
setelah mereka memperlihatkan semangat itu semasa menentang Malayan Union.
Malayan Union berjaya ditumbangkan melalui usaha yang dilakukan oleh UMNO.
Kewujudan Persekutuan Tanah Melayu memberikan pertambahan keyakinan yang negara
ini akan mencapai kemerdekaan juga akhirnya. Jadi tidaklah timbul usaha untuk
mencapai kemerdekaan melalui cara lain seperti yang diperjuangkan oleh komunis.
Secara mudahnya, perjuangan yang berhaluan kiri kurang mendapat sambutan
rakyat, terutamanya orang Melayu, apatah lagi perjuangan PKM bercorak keganasan
dan melakukan pembunuhan. Dengan peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan
terhadap orang Melayu dan seluruh rakyat sama-sama memikul tanggungjawab
terhadap negara ini, perjuangan komunis semakin ditolak dan tidak lagi mendapat
sokongan yang diharapkan.
Tamparan
menjadi lebih hebat kepada PKM setelah gagal dalam Perundingan Baling. Tunku
pula mencapai kejayaan besar dalam perundingan di London. Tarikh kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 diumumkan ke seluruh negara
sekembalinya Tunku dan rombongan dari London pada pertengahan bulan Februari
1956. Ternyatalah apa yang mereka cuba perjuangkan selama ini telahpun dicapai
oleh Tunku melalui saluran parti dan politik serta berunding, bukannya
konfrontasi dan keganasan. Negara kian berada diambang kemerdekaan dan
perjuangan PKM kian pudar, lebih-lebih lagi setelah pemimpin dan pusat
perjuangan mereka telah menumpang di negara orang lain iaitu Thailand.
Sebuah demi sebuah kawasan putih
diisytiharkan menjelang tarikh kemerdekaan. Tugas membanteras komunis semakin
mudah setelah kawasan hitam semakin mengecil. Dengan tumpuan operasi yang
berterusan diperhebatkan, PKM semakin tidak bermaya. Atas semangat kemerdekaan,
sekali lagi Tunku mengisytiharkan pengampunan pada 31 Ogos untuk selama lapan
bulan. Hasilnya seramai lebih 130 orang menyerah diri mulai dari 1 September
hingga 31 Disember 1957. Setelah negara mencapai kemerdekaan, gerakan
ketenteraan terus diperhebatkan di negeri Pahang dan Perak yang masih mempunyai
saki baki komunis. Dalam keadaan yang terdesak, setelah strategi merapatkan
diri dengan golongan massa juga gagal, akhirnya Chin Peng dan pemimpin utama
lain tidak ada pilihan selain daripada menetap terus di selatan Thailand
sebagai tempat persembunyian. Sebelum darurat diisytiharkan tamat pada 19 April
1960 di Parlimen yang berkuatkuasa pada 31 Julai kemudiannya, PKM dianggarkan
hanya mempunyai kekuatan antara 400 ke 500 orang anggota sahaja yang sebahagian
besarnya telah diarahkan supaya meletakkan senjata dan kembali hidup bersama
masyarakat sama ada di Tanah Melayu atau di selatan Thai. Perjuangan selama 12
tahun satu bulan dan 15 hari telah berakhir dengan sia-sia dari segi perjuangan
bersenjata mahupun politik. Namun kerana komunis itu merupakan ideologi, kegagalan
kali ini tidak bermakna terputus sudah perjuangan. Oleh kerana organisasi masih
belum musnah, tenaga kerja masih ada dan simpati orang ramai belum lagi luput
sepenuhnya, perjuangan mereka belumlah dianggap selesai. Jadilah perjuangan
mereka seperti agenda “perjuangan yang belum selesai...13”.
Penyerahan surat Perlembagaan |
The Big Moment |
MERDEKA!!! |
Detik-detik Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957
Erti kemerdekaan
Dipetik dari buku teks sejarah tingkatan 3
LOVE ERNIE...