Let's enjoy

Saturday, August 2, 2014

       

KESIMPULAN KESAN DARURAT


Darurat tidak pernah menghalang cita-cita utama sebahagian besar rakyat yang mahukan kemerdekaan. Peluang ke arah kemerdekaan terus terbuka cerah setelah kerajaan menyedari dan mengambil pendekatan bahawa keganasan komunis tidak wajar diatasi dengan kekerasan bersenjata semata-mata. Strategi yang melibatkan semua organisasi dan jabatan kerajaan serta memenangi “hati dan pemikiran” rakyat telah membuka peluang yang lebih cerah dan meluas kepada mereka untuk sama-sama terlibat dalam membanteras komunis dan dalam masa yang sama memperjuangkan cita-cita asal untuk mencapai kemerdekaan.

Pembanterasan komunis mula menampakkan kejayaan setelah orang Melayu menyahut seruan pemimpin dan kerajaan dengan melibatkan diri dalam pasukan keselamatan. Mereka turut sama membuat pertahanan sendiri di kawasan petempatan masing-masing. Bagi orang bukan Melayu pula (terutamanya orang Cina) telah menunjukkan sikap bekerjasama dengan tidak membantah apabila dipindahkan. Maka perjuangan keganasan komunis dapat direda dan dikurangkan. Sebagai tindak balas, PKM melancarkan beberapa gerakan intensif yang semuanya berakhir dengan kegagalan. Ini semua kerana sokongan awal yang mereka jangka dan harapkan tidak kecapaian. Akhirnya telah memaksa pemimpin PKM meminta pemimpin parti politk utama negara pada masa itu (Tunku) supaya mengadakan perundingan. Namun kerana sikap tidak menerima kenyataan sebagai pihak yang mahu berunding dan sedang berada dalam keadaan hampir kalah, perundingan berakhir tanpa penyelesaian dan gagal.

Apa yang terserlah daripada kegagalan perundingan tersebut ialah arah tuju perjuangan dan sikap mahu mengambil kesempatan dan sentiasa mahu memperkudakan orang lain bagi kepentingan mereka (komunis). Digambarkan kemudiannya mereka berunding lebih kepada mengajak Tunku bermuafakat bersama-sama menentang penjajah mengikut cara mereka dengan membenarkan mereka turut sama terlibat dalam politik. Setelah berjaya menghalau penjajah, mereka menyimpan hasrat awal untuk menjatuhkan sekutu mereka pula yang dianggap lebih mudah dilakukan berbanding dengan menghalau penjajah secara bersendirian. Taktik ini telah diperlihat dari sejarah awal perjuangan mereka yang selalu menggunakan pertubuhan buruh dan para pekerja. Apa yang berlaku sebenarnya, setelah wujud krisis yang memanjang antara pekerja dan majikan, mereka mengaut keuntungan dengan mendesak pemimpin dan pekerja melarikan diri untuk mengelak daripada ditangkap. Akhirnya kesatuan sekerja ditekan dan majikan menjadi lumpuh, sedangkan mereka telah mendapat pemimpin dan anggota yang akan berjuang bersama. Jika berlaku keadaan huru hara, itulah yang menjadi harapan mereka supaya mudah lagi proses mempengaruhi dengan meracuni pemikiran rakyat yang lebih ramai.

Namun, daripada apa yang diperlihatkan dalam tempoh darurat, PKM tersalah perhitungan. Mungkin kerana terlalu kagum dengan kejayaan Komunis di Russia dan China, mereka menyangka akan turut sama mencapai kejayaan di Tanah Melayu. Mereka sebenarnya melakukan salah perhitungan dari segi masyarakat dan agama anutan penduduk setempat. Meskipun pada awalnya, mereka mendapat sokongan daripada kalangan masyarakat Cina, tetapi setelah dikenakan sekatan oleh kerajaan dan dipaksa supaya menentang komunis, ramai yang melarikan diri balik ke negeri China. Mereka tidak mahu terlibat kerana bertentangan dengan hasrat asal ke Tanah Melayu untuk mencari kesenangan yang tidak tercapai di tanah air sendiri, bukannya untuk menempah kesusahan yang sama atau lebih teruk lagi. Seperkara lagi, orang Melayu yang beragama Islam tidak akan menerima sebarang bentuk kekejaman dan kezaliman. Lebih-lebih lagi jika tidak percaya pula kepada Tuhan12. Apa yang berlaku sebelum ini, orang Melayu mengambil tindakan kekerasan kerana mempertahankan hak mereka atau hak Raja dan agama mereka. Sedangkan komunis pula mengajak orang Melayu merampas hak mereka sendiri. Tambahan pula komunis yang mengajak mereka berjuang itu adalah lebih buruk dan lebih teruk lagi daripada penjajah yang sedia ada. Sekurang-kurangnya penjajah tidak melakukan kezaliman secara terang-terang dan masih menghormati orang Melayu dan agama Islam. Oleh itu, kegagalan mendapatkan sokongan orang Melayu bermakna separuh daripada perjuangan telah gagal.

Seperkara lagi daripada peristiwa darurat ini telah menjadikan orang Melayu terus bersatu setelah mereka memperlihatkan semangat itu semasa menentang Malayan Union. Malayan Union berjaya ditumbangkan melalui usaha yang dilakukan oleh UMNO. Kewujudan Persekutuan Tanah Melayu memberikan pertambahan keyakinan yang negara ini akan mencapai kemerdekaan juga akhirnya. Jadi tidaklah timbul usaha untuk mencapai kemerdekaan melalui cara lain seperti yang diperjuangkan oleh komunis. Secara mudahnya, perjuangan yang berhaluan kiri kurang mendapat sambutan rakyat, terutamanya orang Melayu, apatah lagi perjuangan PKM bercorak keganasan dan melakukan pembunuhan. Dengan peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan terhadap orang Melayu dan seluruh rakyat sama-sama memikul tanggungjawab terhadap negara ini, perjuangan komunis semakin ditolak dan tidak lagi mendapat sokongan yang diharapkan.

Tamparan menjadi lebih hebat kepada PKM setelah gagal dalam Perundingan Baling. Tunku pula mencapai kejayaan besar dalam perundingan di London. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 diumumkan ke seluruh negara sekembalinya Tunku dan rombongan dari London pada pertengahan bulan Februari 1956. Ternyatalah apa yang mereka cuba perjuangkan selama ini telahpun dicapai oleh Tunku melalui saluran parti dan politik serta berunding, bukannya konfrontasi dan keganasan. Negara kian berada diambang kemerdekaan dan perjuangan PKM kian pudar, lebih-lebih lagi setelah pemimpin dan pusat perjuangan mereka telah menumpang di negara orang lain iaitu Thailand.


Sebuah demi sebuah kawasan putih diisytiharkan menjelang tarikh kemerdekaan. Tugas membanteras komunis semakin mudah setelah kawasan hitam semakin mengecil. Dengan tumpuan operasi yang berterusan diperhebatkan, PKM semakin tidak bermaya. Atas semangat kemerdekaan, sekali lagi Tunku mengisytiharkan pengampunan pada 31 Ogos untuk selama lapan bulan. Hasilnya seramai lebih 130 orang menyerah diri mulai dari 1 September hingga 31 Disember 1957. Setelah negara mencapai kemerdekaan, gerakan ketenteraan terus diperhebatkan di negeri Pahang dan Perak yang masih mempunyai saki baki komunis. Dalam keadaan yang terdesak, setelah strategi merapatkan diri dengan golongan massa juga gagal, akhirnya Chin Peng dan pemimpin utama lain tidak ada pilihan selain daripada menetap terus di selatan Thailand sebagai tempat persembunyian. Sebelum darurat diisytiharkan tamat pada 19 April 1960 di Parlimen yang berkuatkuasa pada 31 Julai kemudiannya, PKM dianggarkan hanya mempunyai kekuatan antara 400 ke 500 orang anggota sahaja yang sebahagian besarnya telah diarahkan supaya meletakkan senjata dan kembali hidup bersama masyarakat sama ada di Tanah Melayu atau di selatan Thai. Perjuangan selama 12 tahun satu bulan dan 15 hari telah berakhir dengan sia-sia dari segi perjuangan bersenjata mahupun politik. Namun kerana komunis itu merupakan ideologi, kegagalan kali ini tidak bermakna terputus sudah perjuangan. Oleh kerana organisasi masih belum musnah, tenaga kerja masih ada dan simpati orang ramai belum lagi luput sepenuhnya, perjuangan mereka belumlah dianggap selesai. Jadilah perjuangan mereka seperti agenda “perjuangan yang belum selesai...13”.

Penyerahan surat Perlembagaan 




The Big Moment



MERDEKA!!! 


                                             
Detik-detik Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957

                                           
                                  Erti kemerdekaan                                







Dipetik dari buku teks sejarah tingkatan 3

LOVE ERNIE...



No comments:

Post a Comment